Pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Timbalan Yang di-Pertuan Agong diputuskn sembilan Raja perintah negeri
13 Disember 2006 , Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud, bakal diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, menggantikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Setiap lima tahun, inilah senario yang berlaku di Malaysia, antara segelintir negara di dunia yang masih mempertahankan institusi raja.
Berbeza dengan negara lain, institusi raja negara mempunyai keunikan tersendiri kerana pemilihan Yang di-Pertuan Agong sebagai ‘Raja Malaysia’, bukan berdasarkan keturunan daripada seorang raja kepada putera baginda.
Kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan dengan sembilan dari negeri yang membentuk Malaysia mempunyai Raja Melayu menyebabkan semua raja layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong diputuskan oleh Majlis Raja-Raja yang dianggotai Raja Perlis dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta Sultan Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Selangor dan Johor.
Majlis Raja-Raja juga mempunyai anggota bukan raja, iaitu Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak yang tidak layak menjadi Yang di-Pertuan Agong atau mengundi dalam pemilihan jawatan itu.
Melalui sistem penggiliran, Yang di-Pertuan Agong akan berkhidmat selama lima tahun dan tiada raja yang akan berkhidmat selama dua penggal kecuali gilirannya tiba. Bagaimanapun, pengecualian boleh berlaku apabila ada raja yang menolak pencalonan.
Dalam sejarah pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang dan Johor pernah menolak memegang jawatan itu. Sejarah sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong bermula apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dari British menggunakan sistem Raja Berperlembagaan dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat daripada kalangan sembilan Raja Melayu.
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, yang tertarik dengan sistem pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, mencadangkan sistem negeri Adat Perpatih itu diterapkan dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong pertama dan ditabalkan pada 2 September 1957.
Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen pada dua peringkat.
1) adalah negeri dengan sultan sebagai ketua negeri (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Negeri Sembilan dan Raja di Perlis) dengan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, manakala negeri yang tiada Raja Melayu diketuai Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri mengetuai kerajaan negeri.
Pada peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara dan Perdana Menteri mengetuai kerajaan.
Melalui sistem demokrasi berparlimen di bawah sistem kerajaan Raja Berperlembagaan, kuasa rakyat terletak pada Parlimen yang kemudian meletakkan kuasa eksekutif kepada Kabinet. Setiap tindakan pihak berkuasa dilaksanakan atas nama Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat kerajaan.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja membentuk institusi pemerintahan beraja bukan sekadar simbolik, tetapi adalah sumber kekuasaan dan kewibawaan, pemerintah dan kerajaan, manakala rakyat melihat institusi ini sebagai sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia kepada negara.
Secara teknikal, satu pusingan lengkap pemerintahan Yang di-Pertuan Agong adalah selama 45 tahun atau antara 1957-2003.
Bagaimanapun, pusingan itu lengkap lebih awal apabila Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, menaiki takhta pada 1989 dan menamatkan perkhidmatan pada 1994.
Pusingan baru pemerintahan Yang di-Pertuan Agong bermula dengan pelantikan Yang Dipertuan Besar Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman, pada 1994.
Antara faktor yang mempercepatkan pusingan ini berakhir ialah apabila tiga Yang di-Pertuan Agong dalam pusingan pertama, mangkat ketika dalam perkhidmatan, iaitu Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Agong pertama), Sultan Hisamuddin Alam Shah (kedua) dan Sultan Yahya Petra (keenam).
Pada pusingan kedua, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Yang di-Pertuan Agong ke-11) juga mangkat ketika dalam perkhidmatan.
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong
Ciri-ciri kelayakan
# Hanya Raja boleh dipilih.
# Hanya Raja boleh mengundi.
# Kebiasaannya Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan dipilih. Bagaimanapun, peraturan ini tidak lagi digunakan selepas semua Raja dari negeri-negeri dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pusingan ini berakhir selepas Sultan Perak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Satu senarai baru disusun semula dan digunakan sekarang adalah berdasarkan faktor kekananan negeri yang Rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong pertama hingga ke sembilan).
Raja yang tidak layak dipilih
Perlembagaan menetapkan bahawa seorang Raja layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali:
# Raja belum dewasa;
# Raja memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa baginda tidak berhasrat dipilih
# Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja berkenaan adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong kerana kelemahan akal atau tubuhnya, atau sebarang sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima ahli majlis.
Langkah awal sebelum pemilihan
# Mohon perkenan tarikh mesyuarat pemilihan.
# Jika ada kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan perlu dibuat tidak lewat daripada empat minggu daripada tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.
# Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan menulis surat kepada setiap Raja bertanyakan sama ada baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Raja yang tidak berhasrat dipilih perlu memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir dalam senarai pencalonan.
Prosiding pemilihan
Apabila Majlis Raja-Raja bersidang untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang Dipertua Negeri tidak hadir walaupun mereka ahli majlis.
# Pemilihan dibuat secara undi sulit.
# Keratan undi dimusnahkan di hadapan Raja-Raja sebaik saja keputusan undian diumumkan.
# Kertas undi yang digunakan tidak bernombor dan ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama dimasukkan dalam peti undi.
# Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
# Hanya Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja terbabit dalam proses pemilihan.
# Seorang Raja boleh memilih seorang Raja lain sebagai proksi untuk mengundi bagi pihak baginda jika Raja itu tidak menghadiri Mesyuarat Pemilihan.
Proses pemilihan
# Ketika pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memberikan kertas undi kepada setiap Raja, dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya, sama ada Raja yang paling kanan (satu nama saja) adalah sesuai atau tidak sebagai Yang di-Pertuan Agong.
# Calon mesti mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.
# Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran atau gagal memperoleh undi majoriti, proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan untuk diundi.
# Proses hanya akan selesai selepas baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.
Selepas tamat urusan pemilihan
# Selepas tamat urusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan baginda, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan menghantar surat mengenai mengesahkan keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
# Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
# Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan tugas rasmi selepas menandatangani sumpah jawatan dalam satu istiadat di hadapan Majlis Raja-Raja dan Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua orang Raja yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai saksi.
Candy crush
11 years ago
No comments:
Post a Comment